Genting Highlands

Genting Highlands

Genting Highlands atau Tanah Tinggi Genting (2000m di atas paras laut, 3°24′6.51″U, 101°46′2.62″T) ialah puncak gunung yang terletak dalam Banjaran Titiwangsa di Semenanjung Malaysia dan merupakan tempat peranginan yang terkenal di Malaysia. Merentasi sempadan negeri Pahang dan Selangor, perjalanan ke Genting Highlands mengambil masa kira-kira sejam dengan kereta dari Kuala Lumpur ataupun melalui kereta kabel bergerak yang terpantas di dunia. Ia diusahakan oleh Tan Sri Lim Goh Tong.

Genting Highlands Resort kadang-kadang dikenali sebagai Las Vegas Malaysia kerana di sinilah didirikan satu-satunya kasino yang diniagakan secara sah di Malaysia. Genting Highlands Resort dibina oleh Tan Sri Lim Goh Tong.

Kasino ini dikendali oleh Kumpulan Genting. Kawasan percutian ini juga terdiri daripada beberapa hotel yang dimiliki anak syarikat Genting, termasuk Genting Hotel, Highland Hotel, Resorts Hotel, Theme Park Hotel, Awana Genting dan First World Hotel.

First World Hotel mempunyai sejumlah 7,351 buah bilik, menjadikannya hotel terbesar di dunia pada masa kini,[1] mengatasi MGM Grand Las Vegas, bekas pemegang gelaran hotel terbesar di dunia dengan 6,118 bilik. Kemudahan-kemudahan lain dalam kawasan percutian ini termasuk taman tema, padang golf, pusat beli-belah, simulator terjun langit, dewan konsert dan banyak lagi. Genting Highlands Resort juga menempatkan hutan berusia 100 juta tahun.

Terdapat juga sistem berkomputer di luar First World Hotel yang boleh mengira secara automatik bilangan slot letak kereta kosong yang tinggal dalam keempat-empat hotel berikut: Genting Hotel, Highland Hotel, First World Hotel dan Resorts Hotel.

Bermula dari tahun 2001 hingga 2011, Arena of Stars menjadi lokasi rasmi bagi penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian yang dianjurkan oleh akhbar The New Straits Times pada suku pertama setiap tahun. Acara tahunan ini berjaya menarik ramai pengunjung untuk berhibur di Genting Highlands lebih-lebih lagi dengan kehadiran ratusan artis-artis Malaysia dan serantau memeriahkan majlis.

Pada 2007, Genting Highlands menjadi tempat berlangsungnya “Bollywood Oscars” yang berprestij, iaitu Zee Cine Awards 2007 dan Lux Style Awards bagi artis Pakistan di Arena of Stars, teater muzikal menjadi kebiasaan kepada pertunjukan muzikal yang dilangsungkan di sini.

Baca juga: